Pages

18 Jun 2015

Hun Sen ‘adalah’ Mahathir bagi Kemboja



Mengapakah ini Penting?

Kemboja adalah antara negara anggota ASEAN yang kian meningkat naik baik politik dan ekonomi diperingkat Antarabangsa walaupun telah melalui zaman gelap regim Khmer Rouge yang memusnahkan keseluruhan sosio-ekonomi Kemboja

Ringkasan

Hun Sen adalah Perdana Menteri Kemboja yang ke-34 dan memegang tampuk kepimpinan Kerajaan sejak dua dekad yang lepas. Dibawah kepimpinan beliau, Kemboja kini mencatatkan pertumbuhan yang memberansangkan dengan purata 7.4% KDKK. Walaubagaimanapun, kejayaan ini dicalarkan dengan tuduhan Hun Sen bertindak sebagai diktator, penyalahgunaan kuasa serta kronisme dan nepotisme

Cerita Penuh

Tidak ramai mengetahui yang Kemboja kini sedang pesat membangun. Ekonomi negara Indo-China ini berteraskan pertanian dimana pengeluaran dan pengeksportan beras menjadi sumber pendapatan negara Khmer ini. Disamping itu, Kemboja juga mempunyai salah satu daripada Keajaiban Dunia iaitu kompleks kuil yang terbesar di dunia, Angkor Wat. Hasil mahsul daripada Angkor Wat telah meletakkan Siem Reap sebagai salah satu bandar yang wajib dilawati oleh pelancong dari seluruh dunia.

Perdana Menteri Hun Sen telah memegang jawatan tertinggi Kerajaan sejak tahun 1993 dan ini telah menjadikan beliau sebagai salah seorang ketua kerajaan yang terlama memerintah. Di dalam tempoh ini, Hun Sen telah menjadikan Kemboja sebagai salah satu daripada negara anggota ASEAN. Kini dengan perlancaran Komuniti Ekonomi ASEAN 2015, Kemboja dikatakan akan menerima faedah yang sangat tinggi dan ia dapat menurunkan jumlah populasi miskin di negara ini secara ketara.

Tuduhan yang kurang manis ke atas Hun Sen ini mengingatkan kita kepada seorang negarawan ulung Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed. Beliau adalah arkitek yang membawa Malaysia keluar dari kemiskinan dan mentransformasi ekonomi Malaysia kepada negara perindustrian. Pelbagai kejayaan yang membanggakan sehingga beliau dinobatkan sebagai ‘Bapa Pembangunan Malaysia’

Akan tetapi, kejayaan ini juga dicemari dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan yang Tun Dr Mahathir menggunakan konsep ‘Machiavelli’ di dalam pentadbirannya. Pembangkang ditekan, Akhbar dan Media dikawal serta wujud persepsi penyalahgunaan kuasa serta nepotism dan kronisme didalam penswastaan dan pengagihan kontrak kerajaan.

Tampak kebetulan yang amat melucukan. Terdapat sebaran di Kemboja yang Perdana Menteri Hun Sen telah beberapa kali menjemput Tun Dr Mahathir ke Phnom Penh untuk berjumpa dengannya. Mungkin ini adalah sesi mentor-mentee diantara dua negarawan ini?

Lihat bagaimanapun, mungkin ada benarnya tindakan mereka. Rantau ini rantau yang istimewa. Ia mempunyai keunikan yang tersendiri didalam sosio-politiknya. Mungkin itu yang akan membawa Kemboja ke aras yang baru, diantara kuasa ekonomi Indo-China.

__________________________________________________________________________________

Penulis menulis ini selepas pulang dari Siem Reap. Penulis dijemput sebagai salah seorang delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Belia ASEAN ke 9 (AMMY IX) . Penulis dapat berinteraksi bersama pegawai-pegawai kanan Kerajaan Kemboja. Nukilan ini adalah hasil pemerhatian penulis.