Pages

11 Oct 2014

Praktikal Idealis Malaysia, satu Perjuangan yang akan diteruskan



1. Sejak bermulanya kempen rasmi Parlimen Belia Malaysia, saya dapat merasakan perubahan di dalam kehidupan seharian saya. Ianya sungguh memberahikan. Lebih menakjubkan melihat semangat yang ditonjolkan oleh rakan-rakan Praktikal Idealis dari seluruh Malaysia.

2. Pelbagai cabaran yang mendatang tanpa ada tanda untuk berhenti, dilabel sebagai anti-establishment, pendokong kuat Pembangkang, dituduh sebagai alat indoktrinasi Pembangkang, segalanya seumpama kami dibentuk dan dibiayai oleh mereka.

3. Saya masih ingat sewaktu penubuhan awal Praktikal Idealis. 5 orang anak muda yang mempunyai harapan dan visi yang sama. Saya hanya mengenali saudara Farhan sahaja ketika itu, kerana beliau adalah rakan seuniversiti 5 tahun yang lepas. Saya baru mengenali mereka, pertemuan singkat meyakinkan saya yang mereka ada bakat-bakat yang harus diketengahkan. Konsistensi di dalam perjuangan menuju kearah agenda pencerahan yang sebenar untuk Malaysia yang maju dan bermartabat.

- Kami sepakat untuk memastikan yang gerakan ini milik sepenuhnya 100% diasaskan oleh anak muda. Anak muda yang menghadapi cabaran reality kehidupan rakyat Malaysia.

- Kami sepakat gerakan ini adalah non-partisan tanpa ada pengaruh parti-parti politik Negara. Ianya menyegarkan dan kena dengan pembawaan dan jiwa anak muda.

- Kami sepakat meraikan perbezaan kerana kami percaya tiada idealogi yang secara fitrahnya lebih baik dari yang lain. Setiap idealogi ada pengikutnya. Setiap idealogi ada metodologinya. Di Praktikal Idealis ianya dikumpulkan, disatukan, diraikan, dimartabatkan, dan digerakkan.

- Kami sepakat mengangkat Ilmu Pengetahuan. Dilahirkan di Perpustakaan Negara Malaysia dan kemudiannya diperkemas di Perpustakaan Raja Tun Uda. Diterjemahkan semangat bulan Ramadhan Al-Mubarak didalam DNAnya.

- Kami sepakat mengejar Pencerahan. Kami percaya pada Perubahan. Kami mendokong aspirasi anak muda yang menginginkan Kemajuan. Ilmu dan Pengetahuan menggalakan pemikiran, menstimulasi kebijaksanaan, menolak bias yang sudah ketinggalan, membentuk pemikiran yang berasaskan Ihsan.

- Kami sepakat mendokong keluhuran Perlembagaan. Menyelami Rukun Negara sebagai rujukan.

- Kami sepakat dan terus sepakat membawa idea ini. Memberikan kembali kuasa memilih dan berfikir kepada Pemuda dan Pemudi. Menjadi Kuasa Ketiga yang disegani. Memecahkan tembok status quo monopoli parti-parti.

4. Ayuh semua rapat saf. Dari Alor Star ke Johor Bahru, dari Ipoh ke Kota Bahru, Seremban, Shah Alam dan Kuala Lumpur, Borneo Sabah dan Sarawak, dan juga rakan sokongan yang jauh. Sama-sama menuju Ke Arah Agenda Pencerahan, Berani Berfikir dan Meraikan Perbezaan.

No comments:

Post a Comment