9 Nov 2014
RUMAH TRANSIT UNTUK BELIA MALAYSIA
Panel Pemikir peribadi saya, pada hari ini telah mengangkat satu isu yang amat dekat dengan belia. Seperti yang semua sudah maklum, perumahan belia akan menjadi isu utama bukan sahaja di peringkat Parlimen Belia. Ia juga akan menjadi isu pokok bagi Pilihanraya Umum yang ke-14 kelak.
Kos sara hidup yang meningkat, kadar kenaikan gaji pekerja yang rendah, pembayaran PTPTN yang dikatakan mengganggu gugat aliran wang bulanan dan kekurangan pekerjaan yang bergaji tinggi adalah contoh mengapa belia-belia, khususnya yang baru bergraduan dan berumah tangga menghadapi kesukaran untuk memiliki hartanah pertama.
Panel Pemikir saya berpendapat, pelaksanaan Rumah Transit bagi belia-belia yang baru berkahwin dan berpendapatan rendah harus diperhalusi dan tidak dilaksanakan sambil lewa tanpa mengambil kira impak jangka masa panjang. Perkara seperti gaya hidup dan mentaliti belia-belia khususnya bumiputera harus diberi penekanan kerana rancangan ini akan menghasilkan "adverse effect".
Saya bersetuju dengan mereka, walaupun niat baik Kementerian Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar harus dipuji. Usaha Rumah Transit ini dilihat sebagai penyelesaikan jangka pendek sahaja. Kerajaan harus memberi perhatian khusus bagi meningkatkan pemahaman belia yang baru berkahwin untuk lebih BIJAK menguruskan kewangan masing-masing.
Konsep Sewa-dan-Keluar ini pada rohnya adalah untuk membantu belia-belia baru berkahwin/bekerja untuk menyewa dan pada masa yang sama mengumpul dana untuk "Down-Payment" pembeliaan hartanah selepas mereka tamat kontrak sewaan dengan Kerajaan. Model ini akan berhasil sekiranya, semua peserta benar-benar mengikut saranan Kerajaan untuk mengumpulkan dana.
Salah seorang Panel Pemikir saya berkongsi pengalaman keluarganya sendiri yang membina beberapan unit rumah seluas 700 psf, 2 bilik dan 1 bilik air, untuk disewakan 10-15 tahun yang lepas dengan kadar sewa bulanan RM 200. Berdasarkan rekod beliau, daripada 8 penyewa, hanya 3 telah memiliki rumah sendiri, 2 masih kekal menyewa dan 3 berpindah/menyewa rumah-rumah lain bagi menampung saiz keluarga yang bertambah.
Data ini amat memeranjatkan. Perbincangan mendalam dibuat, kami menyimpulkan, pihak Kerajaan juga harus mengambil kira mentaliti peserta program rumah transit. Harus diberi pendedahan mengenai pengurusan kewangan yang bijak, bagi mereka benar-benar mengumpul dana. Kita tidak mahu melihat kes tersebut berulang lagi.
Walaupun sistem kontrak sewaan itu jelas menunjukkan mereka harus keluar selepas tamat tempoh, kita tidak harus lupa yang kita insan, pastinya akan ada yang memohon untuk mendapatkan lanjutan sewaan melalui pelbagai cara waimah kaitan politik, kaitan dengan DBKL dan bermacam lagi.
Oleh yang demikian, disebalik sokongan prinsip saya dengan kaedah Rumah Transit ini, saya berharap agensi-agensi yang berkaitan termasuklah pemimpin-pemimpin belia dapat memberi penekanan kepada program Literasi Kewangan bagi membantu belia-belia kita memahami kepentingan pengurusan Kewangan bijak. Mereka dapat menghormati niat baik Kerajaan dengan mengumpulkan dana "Down-Payment" yang diharapkan, serta keluar pada masa yang ditetapkan untuk membantu adik-adik mereka yang bakal keluar bekerja dan berkahwin kelak.
Jangan jadikan ini sebagai "permanent solution", untuk pemilikan hartanah belia, tetapi salah satu alat membantu mengurangkan bebanan kewangan belia. Disiplin dan kesedaran supaya berusaha lebih kuat dan TIDAK mengharapkan bantuan KERAJAAN SEMATA-MATA. Jangan kita didik belia-belia kita khususnya belia BUMPUTERA sebagai belia yang MANJA.
3 Nov 2014
Terima Kasih, Thank You, Xie Xie, Danke Schon, Merci
As-salamualaikum dan Salam Agenda Pencerahan
Alhamdulillah, berkat restu, kerja keras, sokongan dan doa penyokong-penyokong Agenda Pencerahan dan rakan-rakan, saya telah dipilih untuk menggalas tugas sebagai Ahli Parlimen Belia Malaysia bagi kerusi negeri Selangor.
Saya dengan rendah diri dan penuh maklum akan kekerdilan saya jika dibandingkan dengan rakan-rakan Ahli Parlimen Belia Malaysia bagi negeri Selangor. Walaubagaimanapun, saya akan berusaha sebaiknya untuk menjalankan amanah ini.
Saya dan rakan-rakan Praktikal Idealis Malaysia akan berusaha keras untuk memperkasakan Agenda Pencerahan untuk anak-anak muda. Kami bertekad dengan kesepakatan yang telah dipersetujui di Perpustakaan Negara Malaysia. In Shaa Allah, calon-calon kami yang "belum menang" semuanya muda-muda belaka, peluang mereka luas. Kami komited untuk terus menerus meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka agar mereka menjadi pimpinan belia yang layak dan berkredibiliti kelak.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada panel pemikir saya yang terus menerus menganalisa dan memberikan cadangan-cadangan bernas berkenaan apa-apa isu yang berkaitan belia. Panel Pemikir saya adalah gabungan belia-belia professional dari pelbagai sektor dan industri. Kebanyakan mereka berumur dekat dengan saya dan kini memegang jawatan-jawatan senior di MNC, GLC dan juga Perkhidmatan Awam. Alhamdulillah syukur, mereka juga akan sentiasa bersama-sama kita sepanjang 2 tahun saya memegang amanah ini.
Tidak dilupakan rakan-rakan calon APBM Selangor yang lain. Jujurnya, saya amat mengagumi mereka. Pedulikan latar belakang dan idealogi politik yang mereka pegang, mereka sangat peramah dan sentiasa fokus kepada isu-isu belia. Mereka juga komited untuk menolak politik picisan dan bersungguh untuk menjadi rakan strategik kerajaan Pusat dan Negeri Selangor untuk belia-belia.
Akhir kata, sekali lagi berterima kasih. In Shaa Allah, doa dan restu rakan-rakan sekalian agar urusan saya dipermudahkan, perjuangan saya diistiqamahkan, pecarian ilmu diteruskan, Agenda Pencerahan direalisasikan.
Sekian, Terima kasih
Azwan Bin Omar
Ahli Parlimen Belia Malaysia
Selangor.
Subscribe to:
Posts (Atom)