Pages

22 Dec 2014

KERAJAAN HARUS DENGAR SUARA HATI BAKAT-BAKAT MUDA DI DALAM PERKHIDMATAN AWAM.

Ini adalah sedikit daripada nukilan saya sewaktu Kempen tempoh hari. Hari ini saya tergerak hati untuk memuatkannya di blog saya. Bacalah...
______________________________________________________________________________

As-salamualaikum dan Salam Sejahtera,

Rakan-rakan...

Hujung minggu ini, satu keluarga dapat berkumpul. Niatnya untuk menyambut sambutan hari Ulang tahun adik yang terlepas tempoh hari. Adik lelaki saya serta isteri dan anak2 nya turut hadir. Alhamdulillah, dapat lepas rindu yang amat pada anak2 buah saya.

Untuk makluman rakan-rakan, keluarga saya hanya keluarga sederhana, kelas menengah. Ayah dan Mama saya persara kerajaan. Adik lelaki saya kini menyambung kerjaya murni Ayah saya sebagai seorang PTD di Putrajaya. Adik perempuan saya juga penjawat Awam di Kuala Lumpur. Hanya saya yang tidak berpeluang berkhidmat di sektor awam.

Sempat berbual dengan adik lelaki saya mengenai peluang kempen Parlimen Belia saya. Adik saya adalah PTD muda yang berbakat, saya yakin beliau akan memberikan nilai tambah yang terbaik untuk kementeriannya.

Kami menyentuh mengenai kebergantungan tinggi Kerajaan terhadap Perunding-Perunding Pengurusan (Management Consultants) seperti PEMANDU, McKinsey, BCG, Ethos dan lain-lain, di dalam pembuatan dasar yang selama ini dilaksanakan sepenuhnya oleh pegawai-pegawai PTD dan lain-lain professional di dalam sektor awam.

Ayah saya, seorang bekas PTD juga memaklumkan, dahulu, di era Tun Mahathir, Tun sendiri amat percaya pada PTD/Penjawat Awam untuk membantu kabinet merangka dasar negara. Tan Sri Ramon Navaratnam, bekas KSU and PTD yang terkenal, Tan Sri Sulaiman Mahbob, bekas Ketua Pengarah EPU dan PTD, juga mengesahkan, dahulu sekiranya pihak Kerajaan tidak mempunyai kepakaran sesuatu isu, barulah perunding luar digunakan.

Hal ini membimbangkan ramai PTD-PTD muda. Saya mempunyai ramai rakan-rakan PTD, hampir semuanya bersetuju dan bimbang trend ini akan berterusan dan mereka hilang relevan di dalam pembuatan dasar nasional.

PTD-PTD muda kebanyakan dilantik dari kelompok yang terbaik dikalangan terbaik. Sebahagian besar adalah graduan tajaan JPA dari Universiti-universiti tersohor dari merata dunia. UK, US, German, Perancis, Jepun, Korea, India, Belanda. Ada antara graduan dr institusi ulung seperti Harvard, Cambridge, Oxford, MIT, Chicago, INSEAD, Tokyo Universiti dan lain-lain. Saya yakin, kemahiran dan ilmu pengetahuan mereka, Jika tidak sama, mungkin hampir dengan peruding-perunding muda di Ethos, McKinsey, BCG dan lain-lain.

Saya tidak menghalang penglibatan nama-nama besar ini. Saya mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada perunding-perunding ini. Saya tahu, sebab saya pernah menjadi perunding muda kewangan korporat. Saya tahu lenggok nada, irama serta linggo yang mereka gunakan.

Kegusaran saya hanya Jika pihak Kerajaan kurang mendengar dan menghargai PTD-PTD muda kita. Mereka ini amat bersemangat, naive kadang-kadang tapi ramai yang ikhlas membantu negara. Saya harap Kerajaan memandang Serius perkara ini. Angkatlah suara, pandangan dan kemahiran

PTD-PTD dan penjawat awam muda kita. Jadikan mereka penggerak, nadi intelek di dalam setiap, kementerian dan agensi. Gunakan mereka sebaiknya, semaksima boleh, latih dan bentuk budaya inovasi dan tidak mudah menyerah kalah, untuk Perkhidmatan Awam yang mapan dan berprestasi tinggi.

Sekian, terima kasih.

Azwan

No comments:

Post a Comment